Mengenal pasti peluang-peluang perniagaan

Mengenal pasti peluang-peluang perniagaan

Pertanyaan yang sering timbul apabila ingin memulakan perniagaan ialah peluang-peluang perniagaan yang ada dan boleh dilaksanakan. Pertanyaan ini sukar untuk dijawab kerana pelbagai pertimbangan harus difikirkan. Walau bagaimanapun bagi seorang usahawan yang kreatif dan inovatif, peluang-peluang perniagaan akan wujud jika kebolehan semula jadi yang ada pada dirinya digunakan dengan sebaik mungkin dan akan menyiapkan kaedah menyediakan rancangan perniagaan dengan terlebih dahulu.

Peluang perniagaan ialah suatu keadaan atau situasi dalam perniagaan yang memberi kesempatan kepada seseorang individu untuk mendapatkan sesuatu manfaat. Peluang perniagaan wujud dan boleh dicari jika usahawan peka dan bertindak dengan segera. Sekiranya lambat bertindak maka terlepaslah peluang tersebut.

Peluang perniagaan bermula apabila wujudnya permintaan terhadap sesuatu barang atau perkhidmatan. Oleh itu untuk menentukan serta mengenal pasti peluang-peluang perniagaan yang bersesuaian, kita perlu memadankan peluang-peluang tersebut dengan kebolehan dan kemampuan diri serta sumber-sumber yang ada pada diri kita.

Secara amnya, analisis peluang-peluang perniagaan boleh dibuat berdasarkan faktor-faktor berikut:

Isi kandungan

Pengalaman

Bagi yang pernah bekerja, peluang-peluang yang didapati ialah dalam bentuk pengalaman kerja yang berkaitan dengan sesuatu kemahiran atau pengetahuan menyeluruh yang berorientasikan perniagaan. Contohnya Encik Ramly, seorang pengusaha burger yang pada mulanya mendapat pengalaman bekerja sebagai pekerja pemasaran, jualan dan hubungan dengan pelanggan dan pembekal. Kini dia dikenali sebagai seorang usahawan berjaya yang mengasaskan perusahaan Ramly Burger.

Persekitaran

Disamping itu juga, faktor persekitaran turut memainkan peranan penting di dalam menyediakan peluang-peluang perniagaan. Pengamatan dan pemerhatian tentang persekitaran akan memberi ilham kepada usahawan untuk mencipta keluaran atau perkhidmatan baru yang bertujuan memberikan kepuasan yang lebih baik kepada pengguna.

Pemerhatian terhadap fungsi dan faedah sesuatu barang dan perkhidmatan akan membolehkan usahawan memikirkan bagaimana dapat memperbaikinya dari segi kos, penjenisan, reka bentuk, cita rasa, saiz dan juga prestasi. Contohnya, pembotolan atau pembungkusan minuman diubahsuaikan dan diperlbagaikan untuk cara pengunaan yang berlainan sama ada untuk dirumah, hidangan di restoran, berkelah atau ketika dalam perjalan menuju ke sesuatu tempat.

Perkembangan Dan Perubahan Ekonomi

Perkembangan dan perubahan ekonomi dan sosial boleh menimbulkan peluang-peluang perniagaan yang baru. Perubahan keadaan ekonomi daripada keadaan meleset kepada keadaan yang baik, boleh membuka banyak peluang perniagaan sejajar dengan perkembangan di dalam sektor ekonomi seperti kewujudan industri pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, peruncitan dan pertanian. Contohnya, kesan daripada Perang Teluk yang berlaku sedikit masa dahulu membuka peluang-peluang perniagaan dalam industri membuat topeng gas dan alatan untuk memadam kebakaran minyak yang berlaku di negara-negara seperti Iran, Syria dan Kuwait.

Perubahan Dan Perkembangan Teknologi

Perubahan teknologi juga boleh mewujudkan peluang-peluang perniagaan dimana pengenalan teknologi baru membolehkan pengeluaran dihasilkan pada kos yang lebih rendah dan membuka pasaran yang lebih luas.

Selain daripada itu, maklumat formal juga dapat memainkan peranan penting dalam menyediakan maklumat-maklumat mengenai peluang-peluang perniagaan. Dalam konteks ini media massa memainkan peranan memberikan maklumat mengenai peluang-peluang perniagaan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Kebiasaannya media massa, sama ada media cetak atau elektronik, mempunyai ruangan khusus untuk menyiarkan maklumat mengenai dunia perniagaan yang membolehkan kita, secara tidak langsung, mengikuti perkembangan pelbagai bidang usaha niaga. Melalui maklumat ini kita boleh memilih bidang perniagaan yang bersesuaian dengan diri sendiri.

Masalah Semasa Pengguna

Pengguna, pengeluar dan pembekal juga boleh memberi maklumat untuk mengenali peluang-peluang perniagaan. Pengguna boleh menyumbangkan cadangan tentang keperluan-keperluan mereka dan seterusnya maklum balas daripada penggunaan ini boleh dijadikan asas untuk mengkaji peluang yang baru. Pengeluar dan pembekal pula boleh memberikan pandangan tentang peluang-peluang perniagaan berasaskan barang-barang yang mereka keluarkaan ataupun yang diedarkan.

Kreativiti dan Daya Cipta (Kebolehan Diri)

Penciptaan dan pembaharuan juga merupakan kemahiran penting yang harus dimiliki oleh usahawan untuk menghasilkan peluang-peluang perniagaan. Walau bagaimanapun bukan semua pencipta adalah usahawan. Pencipta mungkin mempunyai kebolehan menghasilkan idea penciptaan tetapi tidak mempunyai kemahiran keusahawanan dan pengurusan. Sebaliknya orang lain yang mempunyai kemahiran keusahawanan menguruskan idea penciptaan tersebut. Oleh itu, gabungan antara kemahiran teknikal dengan kemahiran keusahawanan untuk menghasilkan ciptaan baru akan melahirkan satu peluang perniagaan yang menguntungkan.

Saturday, July 3, 2010

Pengenalan Kepada Rancangan Perniagaan (RP)

Rancangan Perniagaan atau RP ialah dokumen yang menerangkan secara terperinci berkenaan dengan selok belok sesebuah perniagaan termasuk pelan awal, keperluan modal, rancangan pemasaran, jualan dan unjuran keuntungan. Selain daripada merekodkan informasi penting yang berkaitan dengan sesebuah syarikat dan perniagaan, rancangan perniagaan juga penting dalam usaha untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi institusi kewangan.

Antara kegunaan rancangan perniagaan:

* Membolehkan usahawan membuat penilaian terhadap perniagaan yang bakal atau sedang dijalankan dari pelbagai sudut teknikal dan kewangan
* Menjadi blue print atau panduan selepas operasi perniagaan dilancarkan
* Membuat kajian pasaran serta menilai sama ada perniagaan mempunyai prospek atau potensi untuk maju atau sebaliknya
* Meyakinkan institusi kewangan atau pihak yang mampu memberikan pinjaman perniagaan menerusi dokumentasi yang lengkap

Kandungan Dalam Rancangan Perniagaan

Isi kandungan yang penting dan perlu ada dalam sebuah rancangan perniagaan adalah seperti berikut:

1. Jadual kandungan

Menerangkan apakah intipati serta aspek aspek utama yang bakal ditonjolkan dalam sesebuah rancangan perniagaan. Ini untuk memudahkan usahawan dan pembaca untuk mengetahui serta melangkau terus ke topik yang dikehendaki dengan mudah.

2. Ringkasan Eksekutif/Sinopsis

Menerangkan secara ringkas tentang kandungan rancangan perniagaan dan serba sedikit tentang perniagaan yang bakal/sedang diceburi dan juga tujuan penghasilan rancangan perniagaan.

3. Pengenalan

Mengandungi maklumat maklumat penting syarikat, produk, servis dan sebagainya. Maklumat yang perlu ialah: Nama Syarikat, Jenis Perniagaan Yang Diceburi, Barangan/Perkhidmatan Yang Ditawarkan, Lokasi Premis, Tarikh Mula Perniagaan, Latar Belakang Industri, Trend Pasaran Kini dan Masa Hadapan.

4. Tujuan Penyediaan RP

Perlu nyatakan dengan jelas apakah tujuan utama penghasilan rancangan perniagaan tersebut. Adakah ia untuk memohon pinjaman atau pembiayaan kewangan dari pihak tertentu? Atau rancangan untuk melaksakan projek terbaru/mengembangkan perniagaan? Atau ianya sebagai sumber rujukan usahawan dalam menguruskan perniagaan? Atau tujuan tujuan lain?

5. Latar Belakang Perniagaan/Syarikat

Apakah nama perniagaan tersebut? Di manakah alamat operasi serta nombor telefon yang boleh dihubungi? Apakah bentuk perniagaan yang dijalankan? Apakah kegiatan utama dalam perniagaan? Bilakah tarikh mula perniagaan? Apakah nombor pendaftaran syarikat/perniagaan? Berapakah jumlah modal perniagaan/modal benar? Siapakah pemegang saham syarikat/perniagaan?

6. Latar Belakang Pemilik/Pemegang Saham

Butir butir pemilik dan pemegang saham seperti nama, nombor telefon, kelulusan akademik serta pengalaman & kemahiran perlu dijelaskan di sini.

7. Maklumat Pengurusan dan juga Organisasi

Apakah visi dan misi syarikat? Bagaimanakah struktur organisasi syarikat (sertakan carta) serta senaraikan kakitangan dan pekerja yang bakal terlibat secara langsung dalam pengurusan syarikat dan perniagaan. Untuk senarai kakitangan, nyatakan jawatan mereka serta tugas dan peranan. Gaji dan imbuhan yang bakal diberikan kepada pekerja juga hendaklah dinyatakan sekali. Manakala kos yang terlibat dalam pembelian alatan pejabat juga tidak harus ditinggalkan.

8. Rancangan & Strategi Pemasaran

Antara kandungan yang amat penting dalam sesebuah perniagaan. Analisis terhadap pasaran perlu dibuat untuk membolehkan unjuran jualan serta analisis saingan hampir kepada ramalan. Rancangan pemasaran yang baik akan meneliti produk/servis yang bakal diberikan, prospek pelanggan dan pasaran am. Saiz pasaran perlu diukur dalam usaha mendapatkan jumlah potensi pelanggan dalam masa yang tertentu (seperti dalam setahun dan sebagainya).

Apakah kelebihan dan ciri ciri yang anda pada produk/perkhidmatan perniagaan kita? Adakah ia mudah diperolehi menerusi pesaing pesaing perniagaan yang lain? Apakah faktor faktor yang bakal menarik minat pelanggan? Bagaimana penentuan harga dibuat – adakah ia lebih tinggi dari pasangan, lebih rendah atau sama sahaja? Bagaimana pula dengan strategi pengedaran. Adakah sebilangan pengedar akan dilantik atau pengedaran akan dilakukan secara terus? Berapakah anggaran kos yang terlibat dalam proses pemasaran produk dan perkhidmatan? Apakah teknik teknik promosi yang bakal dijalankan, dan bagaimana?

9. Rancangan Pengeluaran/Operasi

Jika perniagaan adalah berasaskan produk, berapa kuantiti yang bakal dihasilkan dalam tempoh yang tertentu? Jika ianya adalah perniagaan pembuatan, bagaimanakah proses pembuatan/pengilangan produk? Sertakan carta alirnya. Bagaimana dengan strategi penyimpanan stok. Apa akan berlaku kepada stok berlebihan?

Bagaimanakah penyimpanan bahan mentah (jika ada) dibuat? Berapa ramaikah senarai buruh/pekerja yang terlibat dalam pengeluaran/perkhidmatan? Bagaimana pengendalian mesin/alatan operasi dibuat?

10. Rancangan Kewangan

Rancangan kewangan adalah satu lagi aspek yang amat penting dan kritikal dalam penghasilan rancangan perniagaan. Ia penting untuk memastikan analisis dan andaian andaian yang dibuat berkaitan dengan pasaran, jualan dan kos kos yang terlibat adalah realistik.

Rancangan kewangan mengandungi aspek: kos dan modal perlaksanaan perniagaan, sumber pembiayaan kewangan (sama ada modal sendiri, pinjaman bank, sewa beli atau lain lain sumber), aliran tunai (bulanan dan tahunan, untuk jangka masa 3 tahun), penyata pendapatan (tahunan, untuk jangka masa 3 tahun) dan analisis pulangan modal (break-even analysis).

1 comment:

  1. Perkhidmatan Pembiayaan Le_Meridian pergi ke atas dan di luar keperluan mereka untuk membantu saya dengan pinjaman saya yang saya gunakan memperluaskan perniagaan farmasi saya, Mereka adalah permata yang ramah, profesional, dan mutlak untuk bekerja dengan. Saya akan mengesyorkan sesiapa yang mencari pinjaman untuk dihubungi. Email..lfdsloans @ lemeridianfds.com Atau lfdsloans@outlook.com.WhatsApp ... + 19893943740.

    ReplyDelete